Oleh : Khartini Hamir / Foto : Muhammad Asri Awang Haji Abas
BERAKAS, Sabtu, 9 Mei. – Pasukan DPMM FC terpaksa akur setelah tewas 0 - 1 kepada Sabah FC dalam saingan Liga Super Malaysia Musim 2025 / 2026 yang berlangsung di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, malam tadi.
Berangkat menyaksikan perlawanan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri.
Berangkat sama, paduka-paduka adinda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Malik dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda 'Abdul Mateen.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Nazmi Mohamad.
Separuh masa pertama menyaksikan DPMM FC bijak mengawal permainan dengan melakukan beberapa serangan bertubi-tubi ke atas pasukan Sabah FC namun gagal menjaringkan sebarang gol.
Keadaan bertukar menjadi tegang saat pemain penyerang DPMM FC, Muhammad Ramadhan Sananta dilayangkan kad merah kerana melakukan kekerasan ke atas pemain Sabah FC, Darren Yee Deng Lok.
Babak kedua perlawanan pula menyaksikan kedua-dua pasukan saling menunjukkan penguasaan permainan yang lebih baik dengan para pemain saling melancarkan beberapa serangan ke atas gawang masing-masing.
Namun selang beberapa minit masa tambahan diberikan, pasukan Sabah FC berjaya menjaringkan gol sulung mereka menerusi sepakan penalti yang dibuat oleh Gabriel Shmegel Wotter Peres pada minit ke-93.
Keputusan kekal 0 - 1 sehingga wisel tamat perlawanan dibunyikan.
Menerusi perlawanan tersebut kini DPMM FC menduduki tangga kesembilan carta Liga Super Malaysia 2025/2026.
Pada perlawanan seterusnya, DPMM FC dijangka akan bertemu Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada pukul 5.00 petang.
Dalam sidang media yang diadakan selepas perlawanan, Ketua Jurulatih DPMM FC, James Reynolds McAllister melahirkan rasa dukacita atas insiden kad merah yang berlaku, namun tetap melahirkan pujian ke atas usaha para pemain beliau yang dilihat sangat komited dan cemerlang dalam melaksanakan misi mereka di tempat sendiri.
"Para pemain dilihat sangat bersemangat dan berdisiplin serta berusaha kuat untuk meningkatkan mutu permainan dan juga mempertahankan gawang mereka dengan baik," jelas beliau.